JiKa KeJaHaTaN DiBaLaS KeJaHaTan, MaKa iTu aDaLaH DenDaM. JiKa KeBaiKan DiBaLas KeBaiKaN, iTu aDaLaH pErKaRa BiaSa. JiKa KeBaiKaN DiBaLaS KeJaHaTaN, iTu aDaLaH ZaLiM. TaPi JiKa KeJaHaTaN DiBaLaS KeBaiKaN, iTu aDaLah MuLia & TerPuJi....

TIME~

Calendar

ToTaL PaGeviEwS

Saturday 23 April 2011

DIARI SEORANG WANITA PALESTINE


Aku dibesarkan oleh Pak Cik Zaid dan Mak Cik Sarah di pinggir Masjidil Aqsa. Sementelahan Pak Cik Zaid adik kandung ummiku. Aku dinamakan Asiah, mengutip kecekalan, dan ketabahan permaisuri Firaun. Wanita yang tegar dengan keIslamannya. Kau tahu diari, kau mengenal kasih sayang seorang ibu dan ayah daripada bicara indah dan usap belai mereka. Aku merasai bening cinta daripada mutiara nasihat dan kucupan mesra mereka. Ketegasan Pak Cik Zaid membentukku menjadi seorang gadis yang solehah. Aku tidak betah membiarkan rambutku diratah dan dijamah oleh lelaki-lelaki ajnabi. Lalu aku jaganya dengan pakaian hijab. Hatiku, aku lenturkan dengan tartil Furqan. Kedegilanku, aku benamkan dengan biah Islamiah. Akhlakku, aku hiasi dengan kuntuman sifat-sifat mahmudah. Pak Cik Zaid sering membisikkan kalam perjuangan ke telingaku. Malah mimbar Masjidil Aqsa kerap bergegar dengan suara paraunya. Alunan azannya acapkali meruntun jiwa, mengocak atma. Hatiku turut tersentuh tatkala manik-manik jernih gugur dan bersatu di pipi tuanya. Dia berbicara, membuka lembaran sejarah Quds satu persatu kepadaku. Sering dia luahkan kekesalannya, kegagalannya membebaskan tanah Isra' itu dengan tangannya sendiri. Ah, diari, lelaki tua itu terlalu cekal semangatnya. Terlalu utuh pendiriannya. Roh jihad seolah-olah sudah menghamili dirinya. Malah aku sendiri terdorong oleh semangatnya. Dan aku bertekad, bumi suci ini tidak akan aku relakan dijarah oleh Yahudi walau seinci pun. Diari, aku sering tertanya-tanya, dengan apa bisa aku kembalikan kegemilangan Islam di bumiku ini. Dengan tangan? Dengan kudrat? Dengan tubuh? Atau dengan ilmu? Getar gegendang telinga masih terngiang-ngiang, menangkap butiran kalimah yang pernah terlontar di bibir Pak Cik Zaid, bahawa Nabi pernah bersabda "Barangsiapa yang inginkan dunia, maka dengan ilmu, barangsiapa yang inginkan akhirat maka dengan ilmu, barangsiapa yang inginkan kedua-duanya maka jualah dengan ilmu."Sungguh, ilmu itu amat penting, diari! Ilmu mempertemukan seorang hamba dengan penciptanya, ilmu metimbunkan ukhuwah antara seorang sahabat dengan sahabatnya. Begitu jualah dengan aku. Kembara pencarian ilmu ini aku teruskan di kota kecil, Universiti Hebron. Di sana, aku mendasari ilmu perundangan Islam. Aku kembali merungkai fitrah insani, kembali kepada menghayati kedua-dua syariat dan syiar Islam, Al-Quran dan Sunnah. Perjalanan hidupku sebagai siswi berjalan lancar. Telahku bulatkan azam, pejalkan tekad bahawa pencarian mutiara ilmu ini bukanlah bernawaitu kemegahan dan pujian dunia, tetapi kerana Allah. Kerana aku punya cita-cita yang satu, ingin melihat bumiku bebas dari cakaran kafirun! Aman dari genggaman Yahudi! Lantas aku mendalami dua sumber Agung ini, berdamping dan bermesra dengan Furqan dan Hadith. Tenang! Itu yang aku rasai diari, menjalar dan menjejali ke segenap tangkai hati. Diari, dalam melayari hari-hari remajaku, aku tidak dapat lari..tidak dapat lari daripada naluri yang semakin hari semakin bergejolak. Di bustan itu, menemukan aku dengan Amar, jejaka yang berkongsi hadaf denganku. Kami sefikrah, sefahaman malah saling memahami. Adakah itu dinamakan cinta,diari? Perhubungan atas dasar sahabat ini telah mengikat sutera kasih antara kami. Lalu dia cuba selami senandung nada kalbuku padanya. Semakin lama titisan ukhuwah ini, semakin berputik keyakinan yang amat payah untukku huraikan. Wartawan Falestin Muslimah itu benar-benar mencuri hatiku, mengocak sukmaku diari! Redup matanya menatap hening mataku , menimbulkan perasaan yang sukar untukku mengertikan. Ah, kalaulah bisa kau selami hatiku yang berbunga riang di saat itu diari! Untaian cinta ini bertambah erat dalam pertautan yang sah. Amar melamarku, mengintai izinku menjadi serikandi dan permaisuri dalam hidupnya. Lantas musim siffin menjadi saksi, penyatuan antara dua cinta dan hati. Aku dan Amar diakadkan dalam satu majlis yang sederhana tetapi meriah. Maka bermulalah penghidupan yang asing bagiku. Kehidupan sebagai seorang isteri kepada seorang penulis yang tidak jemu-jemu meniupkan api semangat melalui qalam dan penanya. Aku kagum! Kagum dengan jiwa kental suamiku. Dia juga menghamili roh jihad, sama seperti pak cikku. Hari-hari yang kulalui bersama Amar terasa indahnya. Dia lelaki soleh. Mengimami aku dalam segenap hal. Saban hari dia membisikkan padaku, mengalun-alunkan bait- bait indah di telingaku. Betapa dia rindu akan Al- Khaliq. Rindu menjadi syuhada. Rindu pada Syurga Firdausi. Ah, rindunya terlalu dalam...amat mendalam diari. Sering dia membicarakan kisah-kisah perjuangan kepadaku. Penuh penghayatan. Sejarah silam itu seakan-akan sudah sebati dengan jiwanya. Coretan hidup Hassan Al-Banna yang terbiar di Hospital Al-Qasran Aini dek renjaman peluru tidak bermata, kekentalan Salahuddin Al-Ayubi, membebaskan Palestin dalam Perang Hittin yang dahsyat, seutuh jiwa Sayyid Qutb yang terpenjara, dibelenggu Sijin Harbie, semuanya sudah termaktub dalam kamus diari hidupnya. Diari, tugasnya seorang wartawan menuntut pengorbanan waktu dan masa. Tika hanya berbulan dan berbintang, dia khusyuk mengakrabkan diri, setia menitipkan kalimah dan kalam perjuangan. Hinggakan aku tidak tahu bilakah bantal dan tilam dapat menemani kantuknya! Acapkali juga aku terlentok di bahu meja, terlena di lengan sasanya. Taipan jari- jemari menekan keyboard seolah-olah irama yang merdu, membuai tidurku. Namun aku bahagia begitu. Sudah aku arif jihadnya di arena itu, di gelanggang itu. Jihad di hujung mata pena! Tautan cinta ini bertambah erat dan kukuh apabila ladangku subur menyemai zuriatnya. Amar amat gembira, terlalu gembira. Ah, diari, tidak dapat aku gambarkan saat dan ketika itu. Betapa bahagianya aku. Betapa bahagianya dia. Maka kandungan ini kami tatang dengan penuh sempurna. Peralihan masa yang menjadi fitrah setiap penciptaan Ilahi menyaksikan bayiku perlahan-lahan membentuk mudghah. Embrionya ini diimplantasikan di dinding rahimku lantas menjadi janin yang berkembang. Dia bernafas seiring dengan nafasku. Dia berdenyut selari dengan denyutan jantungku. Surah Luqman, Yusuf, Maryam sering aku alun-alunkan. Dia mula bertindak balas pada kalimah tayyibah yang aku lagukan. Indahnya saat menjadi ibu, diari! Namun tidak disangka, gerimis melanda hidupku ketika aku sedang enak mengecap nikmat kebahagiaan. Aku masih ingat malam itu, malam keramat! Malam yang mengukir titik bidayah kesuraman dalam hidupku. Tika aku dan Amar khusyuk, tenggelam dalam tartil Furqan, pintu teratak kami diketuk. Amar ditangkap. Dia dihumbankan ke Sijin Harbie. Askar Israel itu memang bangsat! Aku ditendang, disepak, ditampar tanpa belas kasihan. Aku terperosok, sakit di hujung penjuru. Allah, betapa sakitnya! Betapa peritnya! Perutku terasa begitu pedih seolah- olah dicucuk sembilu berbisa. Dinding anteriorku mula ditendang-tendang. Mungkin bayiku lemas berkeadaan begitu. Mungkin bayiku turut merasai kesakitan dan kepedihan seperti diriku. "Sabarlah wahai anakku, ummi tidak mampu berbuat apa-apa."Aku cuba titipkan kalimah itu dengan harapan janin itu memahami kesengsaraanku. Musim derita ini tidak berakhir begitu sahaja, memanik jernih turun laju menjujuh, membasahi bajuku tatkala Amar dibawa pergi, dan akhirnya hilang dari pandangan mataku. Diari, taqdir Ilahi aku terima dengan penuh kerelaan. Bukankah ummat Islam dituntut beriman pada Qada' dan Qadar? Aku pasti diari, ada hikmah yang bakal tersingkap dari perjalanan hidupku yang berliku. Ada madu yang akhirnya akan mencairkan pahit hempedu. Sudah fitrah perjuangan diari, penuh mehnahnya. Penuh onak dan duri. Namun sesekali diari, aku tidak mampu menolak bayangan Amar yang kerapkali bertandang di layar mata. Hati mula ditiup rindu. Menerobos kalbu. Aku rindu seraut wajah itu. Wajah redup yang menimbulkan ketenangan. Wajah bersih yang bersifat penyayang. Saban malam, aku tenggelam dalam linangan air mata. Aku terlalu rindukan Amar, diari! Diari, kandunganku ini kubelai penuh kemanjaan walaupun tanpa Amar di sisi. Aku nukilkan padanya kisah-kisah junjungan mulia. Jauh di sudut hati, aku ingin dia lahir mewarisi sifat-sifat terpuji Rasullullah. Aku ingin melihat dia menjadi Salahuddin Al-Ayubi yang kedua, bakal membebaskan Palestin dari taghut yang menggila. Harapanku padanya tinggi! Amat tinggi! Diari, hamparan suci itu acapkali menjadi saksi ketika doaku berentet panjang. Aku pohonkan keselamatan dan kesejahteraan suamiku, yang tiada khabar berita. Meskipun aku arif benar, tiada siapa yang mampu terlepas dari cengkaman maut penjara puaka itu. Ah, bukankah doa itu senjata orang-orang mukmin? Aku rela dan redha, andai ditakdirkan suamiku terkorban di sana, andai ditakdirkan dia bergelar syuhada.
Diari, entah mengapa, mutakhir ini aku sering bermimpi bayangan yang sukar untuk ditafsirkan. Bayangan yang kerapkali mengganggu gharisahku. Aku bermimpi, aku berlari-lari di taman yang indah, cantiknya yang tidak dapat aku gambarkan. Air sungai mengalir tenang tanpa kenal erti tandus dan gersang. Tiadapun segaris duka di raut wajahku ketika itu, diari. Aku gembira menyusuri taman yang bunganya mekar, mengelopak dan mengembang. Harum yang mewangi di segenap ruang. Paling mengejutkan diari, Amar malahan anakku juga ada di sana. Mereka melambai-lambai sambil tersenyum mesra ke arahku. Apakah makna mimpiku itu diari? Diari, jari jemariku terasa lenguh, ralit melakarkan coretan ini. Tanpa aku sedari malam kian melabuhkan tirainya. Kantuk semakin memberat di birai mata. Terima kasih diari kerana sudi menjadi temanku, mengakrabiku di kala kepiluan dan kesedihan begini. Ah, kau setia dairi, setia mendengar suara dan luahan hati ini. Andai esok mentari bersinar cerah dan andai esok rohku tidak dijemput pulang, kita bertemu lagi diari.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...